Advertisement
Dua Tulang Belakang Juara Piala Asia 2015 Sertai Harimau Malaya
Harimau Malaya
MakanBola
AFC

Skuad Harimau Malaya ketika ini bakal diperkuat dengan kehadiran dua tonggak utama yang membantu Australia melakar kejayaan di peringkat Asia.

Pada 16 Disember lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan rasmi mengumumkan pelantikan Peter Cklamovski sebagai pengendali baharu bagi skuad Harimau Malaya.

”Bekas pengurus FC Tokyo, Peter Cklamovski dari Australia dilantik bagi menggalas tugas selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan,” ujar FAM pada 16 Disember lalu.

Terbaharu, menerusi kenyataan oleh badan induk bola sepak negara itu pada Khamis menyaksikan skuad Harimau Malaya akan dibantu dengan kepakaran Craig Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi Dan Perubatan.

FAM hari ini mengumumkan Dr. Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan,” umum badan induk tersebut.

Menariknya, kedua-dua individu hebat ini merupakan tunjang utama di sebalik kejayaan pasukan Australia ketika menjulang Piala Asia 2015 pada 10 tahun lalu di hadapan ribuan peminat sendiri.

Cklamovski ketika itu berperanan selaku pembantu jurulatih kepada Ange Postecoglou sementara Craig Duncan pula bertugas sebagai Ketua Sains Sukan di Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA).

Kini, Cklamovski dan Duncan bakal memikul tugas penting bagi memacu pasukan Harimau Malaya ke arah lebih baik dengan tugasan pertama dalam aksi Kelayakan Piala Asia bermula Mac.

Pasukan kebangsaan bakal membuka tirai aksi Kelayakan Piala Asia 2027 dengan menentang Nepal pada 25 Mac ini sebelum berdepan dua negara jiran serantau, Vietnam dan Laos.