Datang Dari Masa Depan, Duo ‘Anak Fandi’ Bakal Jadi Mimpi Ngeri Lawan

IKhsan Ilhan Singapura Datang Dari Masa Depan, Duo ‘Anak Fandi’ Bakal Jadi Mimpi Ngeri Lawan
FAS
Nik Faris @nikfalovic
2:32pm 29/03/2022

Kehadiran dua penyerang muda dalam pasukan kebangsaan Singapura nyata menjadi duri dalam daging buat pasukan negara apabila dihukum dengan keputusan 2-1 baru-baru ini.

Persembahan memukau yang ditampilkan oleh penyerang BG Pathum United, Ikhsan Fandi terus menjadi tumpuan apabila beliau menjadi watak penting pasukan dalam perlawanan tersebut.

Penyerang berusia 22 tahun itu diletakkan dalam kesebelasan utama pasukan terus memperagakan aksi yang sangat cemerlang bermula seawal minit permainan.

Kebijaksanaan Ikhsan untuk mengesan kelompongan barisan pertahanan Harimau Malaya terus menyukarkan misi pasukan negara menerusi larian-larian yang mengelirukan.

Bukan itu sahaja, beliau berjaya memanfaatkan beberapa peluang untuk melakukan percubaan sebelum menjaringkan gol pertama pada minit ke-30.

Ketajaman penyudah di hadapan gawang terus terbukti pada separuh masa kedua apabila kegagalan barisan pertahanan untuk mengesan larian Ikhsan terus dimanfaatkan sebelum melepaskan satu rembatan deras menewaskan Farizal Marlias.

Prestasi cemerlang di peringkat kelab nyata memberi kelebihan buatnya setelah menjaringkan 9 gol pada musim ini selain memperoleh minit permainan yang mencukupi bersama pasukan di Thai League 1 itu.

Seterusnya, adik kepada Ikhsan iaitu Ilhan Fandi juga merupakan antara prospek masa depan yang sangat berkualiti dimiliki oleh pasukan kebangsaan Singapura.

Sungguhpun hanya masuk sebagai pemain gantian, kecemerlangan pemain berusia 19 tahun ini untuk membuka ruang buat abangnya telah membawa kepada penghasilan gol kedua Singapura.

Gandingan serasi ini juga telah memaksa barisan pertahanan Malaysia untuk terus bekerja keras bagi memastikan gawang gol negara tidak dibolosi.

Beliau kini sudah pun menjaringkan 1 gol setelah beraksi dalam 2 perlawanan bersama pasukan muda Singapura.

Singapur jelas mahu mengekalkan prestasi cemerlang ketika ini setelah berjaya mara sehingga separuh akhir pada Piala AFF tahun lalu.