Pasukan petugas khas Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) melabel proses kelulusan status warganegara untuk tujuh pemain sebagai tidak teratur dan dibuat pada masa singkat.
Ini berdasarkan kenyataan media suruhanjaya berkenaan yang disiarkan di semua platform rasmi EAIC pada Jumaat. Pasukan petugas khas ini diketuai Timbalan Pengerusi EAIC, Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham dan dibentuk pada November 2025.
Pasukan petugas khas ini ditubuhkan untuk menyiasat isu membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan laporan Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
EAIC mendapati mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Menteri Dalam Negeri diberi kuasa dalam mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan secara naturalisasi menurut peruntukan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Dalam Negeri selanjutnya menjalankan kuasa dan budi bicara dengan memberi kelulusan khas mengambil kira sumbangan pemohon dalam sukan bola sepak yang boleh mengharumkan nama negara. Ini berdasarkan Perkara 19(2) yang dibaca bersama seksyen 20(1)(e) Bahagian lll Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan tersebut memberi kuasa budi bicara kepada Menteri Dalam Negeri atas sebab-sebab yang ditetapkan secara am atau secara khas oleh menteri untuk menghitung tempoh kemastautinan seseorang itu tidak berada di dalam Persekutuan boleh dianggap bermastautin di Malaysia.
Meskipun begitu, EAIC mendapati pertimbangan kepada syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi memperoleh kelulusan khas telah dibuat dalam tempoh yang amat singkat dan secara tidak teratur.
Antara isu yang dikenal pasti ialah ketidakaturan dalam proses pengeluaran Permit Masuk melibatkan proses temuduga dan tapisan keselamatan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kepada tujuh pemain terbabit.
Selain itu, EAIC turut mengesan isu berhubung pengendalian tapisan keselamatan oleh JIM dan ujian Pengetahuan Bahasa Melayu (UPBM) oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tujuan kelulusan kewarganegaraan.
EAIC juga mendapati wujud isu ketidakpatuhan berkenaan pengesahan pelepasan kewarganegaraan dan penyerahan pasport negara asal tujuh pemain terbabit.
Atas sebab itu, EAIC mengesyorkan JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyemak semula keseluruhan proses dan dokumen-dokumen kewarganegaraan tujuh pemain tersebut.
Suruhanjaya itu turut mengesyorkan kedua-dua entiti berkenaan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelepasan kewarganegaraan negara asal, pemberian kewarganegaraan dan penggunaan kuasa budi bicara Pendaftar Besar.
EAIC juga mengesyorkan JIM, JPN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat SOP khusus tapisan keselamatan untuk kelulusan Permit Masuk dan kewarganegaraan.
Laporan pasukan petugas khas EAIC telah diserahkan kepada KDN, JIM dan JPN untuk tindakan selanjutnya.