Star City terus memantapkan jentera tengah mereka dengan merekrut pemain naturalisasi Malaysia-Brazil, Endrick dos Santos.
Pengurusan Star City mengumumkan perpindahan pemain berusia 31 tahun itu menerusi satu hantaran di semua platform rasmi kelab berkenaan.
Endrick menjadi rekrut terbaru Star City selepas Engku Shakir, Syafik Ismail, Harith Samsuri, T. Saravanan, Hafizul Hakim, Syahmi Zamri dan bekas kapten Kedah, Akmal Zahir.
“Star City FC dengan penuh rasa bangga mengumumkan kehadiran pemain terbaharu dalam barisan serangan kami, Endrick dos Santos Parafita.”
“Berasal dari Santana, Brazil, pemain berusia 31 tahun yang penuh bertenaga ini membawa sentuhan gaya Amerika Selatan serta pengalaman luas ke dalam pasukan ‘Pride of the North’. Dengan ketinggian 1.82 meter, Endrick merupakan pemain berbakat yang versatil dan tangkas, serta mampu mendominasi kawasan serangan lawan (final third),” kata Star City dalam satu kenyataan di laman media sosial.
Endrick hadir dengan pengalaman yang luas di Liga Malaysia. Sebelum ini, beliau pernah menyarung jersi Felcra, Selangor, Penang dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Antara trofi yang pernah dimenangi beliau di Malaysia ialah Liga Super (2x), Piala Sumbangsih (1x), Piala FA (1x) dan Piala Malaysia (1x) ketika bersama Harimau Selatan.