Piala Dunia
Statman Dave
Advertisements

England dan Amerika Syarikat muncul dua pasukan seterusnya mengikut Belanda dan Senegal layak ke pusingan kedua Piala Dunia 2022. Ini selepas kedua-dua pasukan menang dalam perlawanan terakhir Kumpulan B.

England yang berdepan cabaran Wales di Stadium Ahmad bin Ali mendominasi perlawanan sebaik sepak mula. Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-10 apabila Harry Kane membuat satu hantaran yang berjaya menewaskan pertahanan The Dragons kepada Marcus Rashford. Bagaimanapun, cubaan penyerang Manchester United itu berjaya disekat penjaga gol Leicester City, Danny Ward.

England yang dibimbing Gareth Southgate berdepan kesukaran menembusi Wales yang dilihat bertahan dan menunggu peluang melancarkan serangan balas. Ini dibuktikan menerusi percubaan bekas pemain Stoke City, Joe Allen pada minit akhir babak pertama tetapi tidak mengancam penjaga gol Three Lions, Jordan Pickford. Kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, England akhirnya memecah kebuntuan menerusi Rashford pada minit ke-50. Ia terhasil menerusi satu sepakan percuma yang diambil penyerang United itu tepat ke penjuru atas gawang dengan Ward tak berdaya menepis bola keluar. Seminit selepas itu, hantaran lintang Kane mudah disempurnakan Phil Foden bagi membolehkan England mendahului 2-0.

Marcus Rashford Jordan Henderson England Wales Piala Dunia 2022 Football Daily England Dan Amerika Syarikat Mara Ke Pusingan Kedua Piala Dunia
Rashford meraikan jaringan ketiga bersama Jordan Henderson. Gambar: Football Daily

Wales cuba bangkit menerusi percubaan Daniel James pada minit ke-56 tetapi percubaan jarak jauhnya sedikit tersasar. Tetapi The Dragons terus menderita apabila Rashford membolosi mereka buat kali kedua pada minit ke-68 selepas mendapat hantaran jauh bekas pemain Leeds United, Kalvin Phillips. Itu juga merupakan gol ke-100 England dalam kejohanan Piala Dunia.

Dengan perlawanan semakin ke penghujung, Wales berusaha mencari gol saguhati. Tetapi Three Lions terus kental mempertahankan kedudukan 3-0 mereka sehingga tamat perlawanan sekaligus mengesahkan kedudukan mereka sebagai juara Kumpulan B.

Advertisements

Sementara Amerika Syarikat pula yang berdepan cabaran Iran di Stadium Al-Thumama menyaksikan Iran memberi tekanan kepada The Yanks sebaik sepak mula. Tetapi USA terlebih dahulu menguji menerusi percubaan pemain tengah Valencia, Yunus Musah pada minit ke-12 tetapi berjaya dinafikan penjaga gol Team Melli, Alireza Beiranvand.

Pulisic menolak gol melepasi Beiranvand untuk gol pertama Amerika Syarikat. Gambar: @USMNST

Timothy Weah dua kali berpeluang menguji kecekapan Beiranvand pada minit ke-28 dan ke-33. Bagaimanapun, kekurangan pengalaman di peringkat antarabangsa mengakibatkan dua percubaan penyerang Lille itu gagal menemui sasaran. Bagaimanapun, lima minit selepas itu, The Yanks mendahului menerusi gol Christian Pulisic selepas menolak bola hantaran Sergino Dest ke gawang Iran. Team Melli cuba bangkit tetapi kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Iran mengasak USA sebaik sepak mula. Dan mereka hampir menyamakan kedudukan menerusi pemain tengah Brentford, Saman Ghoddos pada minit ke-52. Bagaimanapun, percubaannya pemain berusia 29 tahun itu tidak menemui sasaran. 13 minit selepas itu, Ghoddos sekali lagi berpeluang selepas mendapat hantaran Mehdi Taremi tetapi percubaannya tersasar.

Advertisements

Dengan kedudukan masih 1-0, anak-anak buah Gregg Berhalter memilih berkubu di bahagian mereka bagi melindungi kelebihan yang ada. Ini menyebabkan Iran yang dibimbing Carlos Queiroz menyerang habis-habisan The Yanks. Sepakan percuma Team Melli pada minit ke-92 gagal ditanduk kemas oleh Morteza Pouraliganji sekaligus Iran kempunan untuk menyamakan kedudukan.

Iran kemudiannya menyangka mendapat sepakan penalti pada minit ke-98 perlawanan selepas Taremi didakwa terjatuh dalam kotak penalti tetapi rayuan mereka ditolak oleh pengadil. Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan dengan Amerika Syarikat muncul naib juara Kumpulan B.

Dengan keputusan ini, England bakal berdepan Senegal di pusingan kedua pada awal pagi 4 Disember. Sementara USA pula bakal berdepan tugas sukar menentang Belanda pada 3 Disember jika mahu layak ke suku akhir.

Advertisements

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram