Advertisements
EPL: Chelsea & Nottingham Forest Kongsi Mata
EPL
MakanBola
Chelsea FC

Perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad menyaksikan Chelsea terpaksa berputih mata diikat Nottingham Forest di laman sendiri.

Setelah mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut, Chelsea turun melayani kunjungan Nottingham Forest yang tewas di tangan Fulham minggu lalu.

Ayam tambatan, Cole Palmer terus menerajui jentera serangan Chelsea sementara Nottingham Forest pula mempertaruh penyerang New Zealand, Chris Wood di bahagian hadapan.

Tuan rumah memiliki beberapa peluang terhidang untuk membuka tirai jaringan terutamanya menerusi pemain sayap, Noni Madueke namun berjaya dihalang benteng lawan.

Pendekatan berbeza pula diambil oleh Nottingham Forest yang lebih banyak bertahan dan menyerap asakan Chelsea untuk melakukan serangan balas pantas.

Separuh masa pertama tamat, Chelsea 0-0 Nottingham Forest.

Kembali dari rehat, Nottingham tidak menunggu lama untuk berada di hadapan menerusi penyudah Chris Wood untuk menewaskan Robert Sanchez empat minit bersambung babak kedua.

Noni Madueke kembali menceriakan penyokong setia The Blues apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-57 hasil rembatan leret dari sebelah kanan.

Malang buat pasukan pelawat apabila James Ward-Prowse dilayangkan kad kuning kedua kerana menghalang bola menggunakan tangan ketika Chelsea sedang melancarkan serangan balas pada minit ke-77.

Aksi di Stamford Bridge berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Saingan liga akan berehat seketika dan akan bersambung dengan aksi Chelsea bertemu Liverpool manakala Nottingham Forest berdepan Crystal Palace.