Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Man City bangkit daripada ketinggalan sebelum meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Luton Town hari ini.
Selepas seri 3-3 dengan Tottenham Hotspur dan kalah 1-0 kepada Aston Villa, City tidak boleh lagi keciciran mata jika mahu mempertahankan mahkota EPL mereka.
Bagaimanapun, Luton menjanjikan cabaran sukar di tempat sendiri lebih-lebih lagi selepas mengikat Liverpool 1-1 dan tewas tipis 4-3 kepada pendahulu EPL, Arsenal.
Biarpun turun tanpa ayam tambatan mereka, Erling Haaland, The Citizens berusaha mencari gol awal.
Malangnya, barisan pertahanan The Hatters diketuai kapten, Tom Lockyer kental menyerap setiap asakan yang digerakkan pelawat.
Sebaliknya, tuan rumah sentiasa mengintai peluang melancarkan serangan balas. Hasilnya, mereka mendahului 1-0 semasa rehat menerusi gol Elijah Adebayo pada minit akhir babak pertama.
Bersambung pada babak kedua, City seakan tiada idea bagaimana hendak menembusi bahagian pertahanan tuan rumah.
Akhirnya, Bernardo Silva memastikan pelawat mendapat gol penyamaan menerusi rembatan kencang pada minit ke-62.
Dua minit kemudian, pemain sayap England, Jack Grealish memastikan The Citizens mendahului 2-1. Gol tersebut tetap dikira biarpun The Hatters mendakwa bola terkena tangan Julian Alvarez sebelum Grealish menjaringkan gol.
Luton berusaha mencari gol penyamaan tetapi City memastikan kemenangan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini membolehkan The Citizens merapatkan jurang dengan Aston Villa kepada dua mata di tempat keempat. Sementara The Hatters pula di tangga ke-18 dengan sembilan mata.
Impak yang dibawa Silva sebagai pencetus kebangkitan pelawat membolehkan Sofascore memilihnya sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mendapat markah 8.2 mata.