Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir memberi amaran tentang kebangkitan Malaysia.
Pada Isnin, skuad kebangsaan Malaysia telah mengumumkan pelantikan Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya yang bakal berkuat kuasa bermula 1 Januari ini.
Perkembangan terkini skuad negara mendapat liputan ramai sehingga sampai ke pengetahuan Erick Thohir mengenai projek revolusi Harimau Malaya yang dikendalikan oleh DYAM Tunku Ismail.
”Saya baru dengar tadi dari media sosial, Malaysia juga mahu menaikkan semula bola sepak,” komen Erick Thohir menurut rakaman video oleh Vivagoal.
“Ada jurulatih baharu katanya, mereka juga akan lantik Ketua Pengarah Eksekutif (CEO).”
Oleh itu, beliau tidak mahu Indonesia bersikap cepat berpuas hati dan terus berusaha maju ke hadapan untuk mengejar impian jika tidak mahu dipintas oleh Malaysia buat kali kedua.
”Ya ini kembali, apa pun yang kita (Indonesia) lakukan hari ini, jangan (cepat) berpuas hati. Kita harus bergerak ke hadapan dan jaga mimpi kita.”
”Kalau tidak, kita akan dipintas oleh Malaysia sekali lagi,” kata Erick Thohir.
Ketika ini, Indonesia menduduki ranking ke-125 dunia, 7 anak tangga di hadapan skuad negara yang berada di kedudukan ke-132 dunia ketika ini.