Kedudukan Malaysia melonjak satu anak tangga menerusi kemas kini ranking oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) setakat ini.
Skuad negara baru sahaja selesai mengharungi perlawanan persahabatan Tier 1 pada November lalu yang menyaksikan 1 kemenangan dan 1 keputusan seri berjaya dilakar anak didik Pau Marti.
Turun bertemu Laos di Bangkok, pasukan kebangsaan pamer aksi bertenaga untuk menewaskan Million Elephants 3-1 hasil jaringan oleh Harith Haiqal, Stuart Wilkin dan Sergio Aguero.
Walau bagaimanapun, momentum cemerlang skuad negara itu disekat oleh India apabila kedua-dua negara akur terikat seri 1-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Hyderabad.
Kemas kini ranking FIFA terbaharu menyaksikan pasukan kebangsaan kendalian Pau Marti melonjak 1 anak tangga berbanding kemas kini terdahulu pada 24 Oktober 2024.
Peningkatan satu anak tangga ini meletakkan Malaysia kini di tangga ke-132 dunia dengan 1117.05 mata memintas negara di benua Amerika Tengah, Nicaragua dengan 1114.28 mata.
Malaysia kini kekal sebagai negara Asia Tenggara ke-4 dalam kedudukan ranking FIFA dengan Thailand berada di tangga ke-97 dunia, jatuh dua anak tangga berbanding sebelum ini.
Manakala, Vietnam dan Indonesia masing-masing mencatat peningkatan ke kedudukan 116 dan 125 dunia sambil diikuti Malaysia di tempat ke-132.
Jendela perlawanan antarabangsa FIFA bakal kembali pada bulan Mac hadapan dengan Malaysia bakal mengharungi aksi penting dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027.
Majlis undian bagi Kelayakan Piala Asia 2027 bakal diadakan pada 9 Disember ini di Kuala Lumpur bagi menentukan posisi pasukan negara dan lawan yang bakal ditempuhi nanti.