Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor memberi bayangan bakal berlaku satu revolusi besar Harimau Malaya.
Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan Peter Cklamovski selaku Ketua Jurulatih Malaysia yang baharu.
Usaha merevolusikan Harimau Malaya itu bakal mendapat sentuhan daripada DYAM Tunku Ismail dengan beberapa jawatan seperti Pengarah Teknikal, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bakal diumumkan tidak lama lagi.
Baginda dalam satu hantaran memberi satu lagi bayangan bahawa satu revolusi besar bakal berlaku sekaligus merancakkan lagi kemajuan bola sepak Asia Tenggara.
“Minat kami adalah bola sepak tetapi apa yang kami bakal buat adalah lebih besar,” ujar Baginda dalam satu hantaran bersama Tim Cahill.
DYAM Tunku Ismail juga memaklumkan bahawa setiap perkara yang dinyatakan 11 tahun dahulu menjadi kenyataan selepas pelbagai kejayaan yang dikecapi oleh JDT pada peringkat Asia dan domestik.
“Semua yang saya katakan 11 tahun lalu saya telah capai. Dua tahun lalu saya berkata saya akan meningkatkan sukan ini dan saya telah melakukannya dalam dan di luar padang.
“Tonton apa yang saya akan lakukan sekarang. Bola sepak hanyalah kenderaan, ini bakal ke depan dan lebih besar,” ujarnya dalam satu hantaran.

Baginda sebelum ini memaklumkan bahawa akan bertemu wakil FIFA dalam usaha mengenal pasti pemain luar negara yang berpotensi untuk mewakili Harimau Malaya.