Tonggak Selangor, Faisal Halim kembali di bangku simpanan The Red Giants untuk perlawanan separuh akhir kedua Piala FA berdepan Terengganu.
Menerusi hantaran di media sosial pada petang, Selangor FC memberi bayangan bahawa kelibat pemain berusia 26 tahun ini bakal disenaraikan oleh Nidzam Jamil bagi aksi getir ini.
Video pendek itu memaparkan sebuah topeng khas diletakkan dalam paparan sebelum Faisal menghampirinya sekaligus mencetuskan tanda dalam kalangan peminat.
Terkini, senarai kesebelasan utama Selangor yang dimuat naik menyaksikan pemain sayap ini diletakkan di bangku simpanan dan bersedia untuk dimasukkan sekiranya diperlukan.
Kali terakhir Faisal Halim beraksi bersama skuad Gergasi Merah adalah pada bulan Mei yang lalu sebelum insiden simbahan asid menimpanya di salah sebuah pusat membeli belah.
Aksi Selangor dan Terengganu dijadualkan bermula pada jam sembilan malam di Stadium MBPJ, Kelana Jaya untuk menentukan pasukan yang mara ke final Piala FA.