Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghormati keputusan peletakan jawatan yang dibuat pengurus pasukan Malaysia Bawah 17 Tahun (B-17), Christopher Raj.
Christopher memilih mengundur diri sebagai pengurus skuad muda negara selepas Malaysia gagal layak ke Piala Asia B-17 2025.
Malaysia terlepas peluang layak selaku naib juara terbaik Kumpulan H apabila sekadar seri 2-2 dengan Laos dalam aksi terakhir kumpulan pada 27 Oktober lalu.
Christopher memilih berbuat demikian atas dasar tanggungjawab. Ini kerana beliau berjanji seandainya anak buah Javier Jorda Ribera gagal layak ke Piala Asia B-17 2025, maka sudah tiba masanya untuk beliau mengundur diri.
Dengan berbuat demikian, ini akan memberi ruang kepada muka-muka baru untuk membawa skuad negara ke tahap yang lebih baik selepas ini.
Kini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan badan induk itu menghormati keputusan yang dibuat Christopher.
Beliau turut memaklumkan FAM sudah meminta Christopher, Ribera dan pengarah teknikal, Scott O’Donell untuk menghantar laporan skuad Malaysia B-17 bagi membolehkan ia diperhalusi oleh badan induk itu.
“Benar, beliau (Christopher) telah melepaskan jawatan sebagai pengurus pasukan B17 kebangsaan dan Sekretariat Agung FAM telah pun menerima surat peletakan jawatan tersebut pada Isnin (semalam). FAM menerima dan menghormati keputusan yang dibuat oleh beliau itu.
“Untuk pengetahuan juga, Sekretariat Agung FAM telah meminta pengurus pasukan (Christopher), ketua jurulatih B-17 dan B-20 kebangsaan serta Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell menghantar laporan pasukan secepat mungkin untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM yang dipengerusikan oleh Datuk S Sivasundaram yang juga Timbalan Presiden FAM untuk post mortem dan diperhalusi,” katanya.
Tiga negara ASEAN iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam membawa cabaran rantau itu di Piala Asia B-17 2025 di Arab Saudi.