FAM Perlu Lebih Proaktif Perkukuh Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disaran mengambil pendekatan lebih proaktif dalam memperkukuh semula pasukan kebangsaan susulan hukuman denda serta pemotongan mata yang dikenakan terhadap Harimau Malaya.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin menegaskan bahawa situasi tersebut perlu dijadikan titik tolak untuk melakukan penambahbaikan menyeluruh dalam pengurusan bola sepak negara.

Menurut beliau, antara langkah utama yang perlu diberi perhatian segera adalah memperketatkan proses pengesahan status pemain serta memperkukuh aspek perundangan dalam pentadbiran badan induk itu.

“Koordinasi antara setiap jabatan dan unit juga perlu dipertingkatkan supaya segala urusan berkaitan pemain dapat diselaraskan dengan lebih teliti,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pematuhan penuh terhadap statut dan peraturan antarabangsa yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam masa sama, Sulaiman berpandangan pembangunan bakat tempatan perlu terus menjadi keutamaan dengan memperluas program akar umbi serta memperkasakan liga domestik sebagai platform melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.

Walaupun hukuman tersebut memberi kesan kepada kempen kelayakan Piala Asia 2027, beliau melihat terdapat perkembangan positif yang mula dizahirkan dalam landskap bola sepak negara.

“Antaranya termasuk peningkatan kesedaran terhadap kepentingan tadbir urus yang telus, sikap lebih berwaspada berkaitan integriti, serta penambahbaikan menyeluruh dalam sistem pengurusan pemain,” jelasnya.

Tambah beliau, situasi yang berlaku ini juga membuka ruang untuk membina semula pasukan dengan asas yang lebih kukuh selain menyaksikan komitmen lebih padu dalam kalangan pemain dan pegawai untuk bangkit semula.

“Dengan sokongan berterusan daripada penyokong, saya percaya Harimau Malaya mampu kembali lebih kompetitif di pentas antarabangsa.

“Dalam jangka masa panjang, episod ini wajar dijadikan pengajaran berharga bagi memperkukuh asas bola sepak negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.