Skuad futsal kebangsaan menerima pujian oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah berjuang di AFF Futsal Championship yang lalu.
Pada kejohanan yang berlangsung di Thailand itu, pasukan negara mengakhiri cabaran di peringkat kumpulan setelah berada di kedudukan ketiga kumpulan A dengan enam mata.
Anak didik Rakhpol Sainetngam bermula baik apabila tampil cemerlang membelasah Brunei 11-0 di aksi pertama sebelum tumbang di tangan Vietnam dan Thailand dalam perlawanan seterusnya.
Meskipun berhasil menewaskan Timor Leste, namun itu tidak cukup buat skuad futsal kebangsaan layak ke separuh akhir sekaligus terpaksa akur pulang awal dalam 3 edisi berturut-turut.
Menurut Datuk Seri Rosmadi Ismail, terdapat peningkatan yang dapat dilihat pada skuad negara ketika ini setelah dua kejohanan yang dibimbing oleh ketua jurulatih dari Thailand, Rakhpol Sainetngam
”Kita kena berlaku adil kepada Rakhpol (Sainetngam) kerana dia baru datang dalam setahun dengan kejohanan pertama di Kelayakan Piala Asia,” komen Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM itu.
”Ini kejohanan kedua dan ikhlas sebagai pengurus saya lihat ada peningkatan, kita nampak pasukan kita boleh bermain dan pemain tidak nampak letih sehingga habis masih mahu bermain.”
Oleh itu, beliau melihat proses transisi pemain yang berlaku di dalam pasukan kebangsaan kini berkembang baik demi mencapai sasaran untuk menjadi pasukan pencabar suatu hari nanti.
”Jadi saya rasa pelan kita untuk proses transisi dari pemain lama ke pemain muda ini berada di landasan yang tepat,” kata Datuk Seri Rosmadi Ismail kepada Astro Arena.
“Saya juga amat positif suatu hari nanti, kita akan mencapai sasaran untuk menjadi salah satu pencabar terutamanya di peringkat Asia Tenggara.”
Pada kejohanan tersebut, Indonesia yang berada di ranking ke-24 dunia berjaya membawa pulang gelaran juara setelah menewaskan Vietnam 2-0 di perlawanan akhir Ahad lalu.