Penyerang muda kebangsaan, Fergus Tierney memberi bayangan bakal meninggalkan Sabah FC.
Hal ini dinyatakan penyerang berusia 23 tahun itu dalam satu hantaran di Instagram. Meskipun hanya bersama Sang Badak selama semusim, Tierney menghargai pengalaman berharga yang diraih di Sabah.
“Satu pengalaman yang hebat! Terima kasih kepada semua rakan sepasukan, jurulatih, kakitangan dan peminat saya. Saya telah bertemu rakan seumur hidup dan kenangan yang akan saya hargai selama-lamanya,” katanya.
Sepanjang bersama Sabah secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Tierney merekodkan 10 gol dan dua bantuan gol dalam 38 penampilan Liga Malaysia (Liga M).
Beliau turut membantu pasukan itu mara ke final Piala FA 2025/26 dan muncul juara MFL Challenge Cup musim sama.
Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melihat ucapan perpisahan Tierney sebagai petanda penyerang itu semakin hampir menyertai DPMM FC.
“‘Terima kasih Sabah,’ Fergus Tierney beri bayangan tinggalkan The Rhinos, hampir pasti sertai DPMM,” katanya di X.
Minat DPMM terhadap bekas penyerang Nakhon Pathom United itu bukan perkara baru. Malah, kelab Brunei itu sudah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat Tierney sejak Mei lalu.
DPMM mula menggiatkan usaha selepas terlepas peluang mendapatkan penyerang Arema FC, Dalberto baru-baru ini.