Fergus Tierney Berkelana Ke Cyprus
MakanBola
PAC Omonoia 29M

Penyerang kebangsaan, Fergus Tierney sekali lagi memilih berkelana ke luar negara.

Kali ini, penyerang muda berdarah Scotland itu memilih menyertai kelab divisyen dua Cyprus, PAC Omonia 29M. Perpindahan Tierney diumumkan pengurusan kelab itu menerusi satu hantaran di semua platform rasmi mereka.

“Kelab kami mengumumkan permulaan kerjasama dengan pemain bola sepak Fergus Tierney. Pemain bola sepak antarabangsa Malaysia ini dilahirkan pada 19/03/2003 dan bermain di bahagian hadapan dan sayap serangan.

“Kami mengalu-alukan Fergus ke dalam keluarga besar Omonia dan kami mendoakan kejayaannya dengan Klover di dadanya,” kata kelab dalam satu kenyataan. Berita sama turut dikongsikan Harimau Abroad.

Pengumuman ini sekaligus menamatkan spekulasi tentang masa depan Tierney. Sebelum ini, bekas penyerang Sabah FC itu dikaitkan dengan perpindahan ke DPMM FC.

Ini bukan kali pertama Tierney berkelana ke luar negara. Sebelum ini, beliau pernah berpindah ke Thailand pada musim 2024/25.

Separuh pertama musim tersebut menyaksikan Tierney mewakili Chonburi FC secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) selama semusim.

Setelah itu, beliau kemudiannya menyertai kelab Thai League 1, Nakhon Pathom United sehingga tamat musim berkenaan.