Sabah FC dijangka berdepan cabaran untuk mengekalkan khidmat Fergus Tierney secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim hadapan.
Ini kerana wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran melaporkan nama Tierney kini diintai beberapa kelab Liga Super dan luar negara. Salah satu daripadanya ialah DPMM FC.
“Sabah berminat untuk mengekalkan khidmat penyerang Fergus Tierney tetapi pemain muda itu mendapat tawaran dari kelab-kelab tempatan dan luar negara.
“Brunei (DPMM FC) sudah menyatakan minat mereka secara terbuka untuk mendapatkan beliau. Pemain berusia 23 tahun itu telah menjaringkan 10 gol dalam semua kejohanan,” katanya di X.
DPMM telah menyatakan hasrat mereka mendapatkan Tierney menerusi satu pengumuman di laman sesawang rasmi pasukan itu.
Ini sekaligus mendedahkan identiti pemain misteri Sabah yang berada dalam radar DPMM sebelum ini. Anak jati Glasgow, Scotland itu telah menjaringkan 10 gol dalam 38 penampilan semua kejohanan.
Tierney juga menjadi sebahagian daripada skuad Sang Badak yang meraih trofi MFL Challenge Cup musim ini. Ini trofi kedua dalam kariernya selepas membantu JDT II muncul juara Liga Perdana pada 2022.
Selain Tierney, DPMM juga dilaporkan berusaha mendapatkan khidmat Safawi Rasid, Junior Eldstal, Ryan dan Declan Lambert serta A. Selvan.
Kelab itu juga berusaha mendapatkan peledak Sepanyol, Ruben Lopez Huesca atau Rubio. Penyerang berusia 30 tahun itu sudah meledakkan 12 gol dalam 31 penampilan untuk CSA Steaua.