Fernando Forestieri Sertai Oxford City
MakanBola
Oxford City FC

Bekas bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri sah menyertai kelab divisyen enam England, Oxford City.

Perpindahan penyerang berusia 36 tahun itu diumumkan pengurusan Oxford City dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab pada 2 Oktober lalu.

“Kelab Bola Sepak Oxford City dengan sukacitanya mengumumkan perpindahan penyerang Itali yang berprofil tinggi, Fernando Forestieri, tertakluk kepada kelulusan antarabangsa.

“Penyerang berpengalaman itu menyertai The Hoops selepas meninggalkan kelab Cyprus, AEL Limassol, sekali gus kembali ke kancah bola sepak Inggeris setelah melalui tempoh yang sangat berjaya bersama Watford dan Sheffield Wednesday,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Forestieri kemudiannya mendedahkan salah satu faktor mendorong beliau menyertai Oxford City ialah pengaruh pengurus dan bekas rakan sepasukan di Watford, Ross Jenkins.

“Saya gembira berada di sini dan ia amat bermakna bagi keluarga saya yang kini menetap di England,” katanya.

“Saya mengenali Ross (Jenkins) dan Robbo (Paul Robinson). Beliau berada di Birmingham semasa saya bermain di sana dan orang-orang di sini sangat baik. Saya akan berusaha sedaya upaya untuk membantu pasukan.”

Forestieri cukup sinonim dengan bola sepak Malaysia selepas mewakili JDT selama tiga tahun. Selain JDT, Watford, AEL Limassol dan Sheffield Wednesday, beliau juga pernah beraksi untuk Udinese, Bari, Empoli, Genoa, Malaga, Vicenza dan Siena.