FIB Hukum Kelantan FC

Kelantan Kuching FIB Hukum Kelantan FC
TRW Kelantan FC
Nik Faris @nikfalovic
5:50pm 03/07/2023

Badan bebas, “First Instance Body” (FIB) memaklumkan bahawa pasukan Liga Super, Kelantan FC dikenakan tindakan berhubung pelbagai masalah yang melanda pasukan.

Perkara ini jelas memberi impak yang cukup besar berkaitan perjalanan pasukan The Red Warriors sehingga menyebabkan mereka kehilangan ramai tonggak utama.

Menerusi perkongsian tersebut, Kelantan difahamkan akan sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua yang akan dibuka pada 5 Julai 2023.

Hukuman itu dijatuhkan ke atas pasukan susulan kegagalan Kelantan FC menghantar bukti bayaran caruman KWSP serta tunggakan gaji pemain dan pegawai (April dan Mei 2023) sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan kepada Kelantan FC pada 28 Jun 2023 dan 30 Jun 2023.

Menurut satu kenyataan oleh Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, Jawatankuasa FIB memandang serius berhubung isu berkenaan.

Beliau mengesahkan bahawa tindakan terpaksa diambil selepas Kelantan FC gagal melunaskan tunggakan dalam tempoh yang diberikan.

“Oleh kerana kegagalan Kelantan FC memberikan bukti bayaran tersebut, maka dengan ini hukuman sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua dijatuhkan dengan serta merta,” katanya.

“Hukuman sekatan perpindahan pemain ini akan ditarik semula sekiranya Kelantan FC berjaya menyelesaikan bayaran tunggakan caruman KWSP, gaji pemain dan pegawai sebelum jendela kedua berakhir pada 1 Ogos 2023.”

Keputusan untuk menarik semula sekatan itu bagaimanapun perlu mengambil kira keputusan FAM dan FIFA berkenaan kes lain melibatkan Kelantan FC.