Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan agar Indonesia melakukan tindakan segera untuk menukar rumput menjelang sepak mula Piala Dunia bawah 17 tahun.
Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Umum PSSI, Erick Thohir yang telah menerima surat daripada badan induk tersebut dan meminta agar Indonesia memperbaiki kualiti lokasi pertandingan termasuklah rumput di Stadium Internasional Jakarta (JIS).
JIS merupakan salah satu daripada 8 stadium yang dikemukakan oleh PSSI sebagai venue pertandingan kepada FIFA.
“FIFA memang sudah mengarahkan agar rumput di JIS agar ditukar sekiranya mahu dijadikan venue perlawanan. Mereka akan datang semula dalam 8-10 minggu untuk memeriksa kembali.”
“Menurut FIFA, rumput hibrid yang digunakan harus diganti kerana jika tidak, ia bakal menimbulkan masalah di kemudian harinya,” jelas Erick Thohir.
Pihak PSSI juga sedia mengikuti permintaan FIFA bagi memastikan perjalanan pertandingan akan berlansung dengan baik.
Stadium Internasional Jakarta (JIS) yang kini menggunakan rumput dengan teknologi hibrid akan diganti dengan rumput konvensional.
Pihak FIFA difahamkan akan berkunjung pada bulan Ogos nanti bagi menyaksikan kemajuan persiapan Indonesia bagi kejohanan yang bakal berlangsung pada bulan November kelak.