Indonesia menepati ramalan sebagai pasukan pilihan di FIFA ASEAN Cup selepas garang menumpaskan Singapura dalam aksi pertama Kumpulan A.
Kemenangan 2-0 dicatatkan Indonesia ke atas Singapura dalam perlawanan pertama Kumpulan A setelah dua gol pada setiap babak memberikan 3 mata berharga buat Sang Garuda untuk membuka langkah ke pusingan seterusnya nanti.
Kesebelasan utama Indonesia dibarisi kesemua pemain warisan diketuai oleh tonggak Borussia Monchengladbach, Kevin Diks tatkala Singapura mempertaruhkan Ilhan Fandi dan Shawal Anuar bagi memimpin jentera serangan.
Suasan di Stadium Gelora Bung Karno menjadi riuh-rendah selepas Ragnar Oratmangoen meletakkan tuan rumah di hadapan hasil jaringan pertama di minit ke-13 selepas menyambar umpanan cantik Luke Vickery dari sebelah kanan.
Malang buat Singapura apabila pertahanan tengah, Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah pada minit ke-70 selepas mengasari penyerang Indonesia, sekali gus menyukarkan peluang pelawat memburu jaringan penyamaan.
3 minit selepas itu, Indonesia memanfaatkan kelebihan seorang pemain dengan menyumbat gol kedua menerusi tendangan penalti Ole Romeny selepas bola mengenai tangan pemain tengah Singapura, Song Ui-yong.
Keputusan berakhir dengan kemenangan 2-0 memihak pasukan Indonesia sementara Singapura pula terpaksa akur membuka kempen FIFA ASEAN Cup dengan langkah kiri.
Perlawanan kedua peringkat Kumpulan A setelah ini akan menyaksikan pertemuan epik antara Malaysia vs Indonesia pada Isnin, 28 September manakala Singapura bakal bertemu Bangladesh pada hari yang sama di sebelah petang.