Jurulatih Norway, Stale Solbakken menyifatkan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membatalkan hukuman kad merah Folarin Balogun sebagai satu kesilapan besar.
Ini kerana pada hemat beliau, tindakan tersebut bukan saja berpotensi memberi kesan negatif kepada imej FIFA, Piala Dunia dan Amerika Syarikat (US).
Malah, Solbakken melihat keputusan ini juga akan memberi kesan kepada pertandingan terutama jika mana-mana pasukan bertemu dengan US selepas ini.
“Ini satu kesilapan besar oleh FIFA. Ini bukan satu kesimpulan yang bagus. Beliau (Balogun) dapat kad merah dan VAR menyimpulkan bahawa itu juga kad merah. Ini bermakna anda digantung untuk satu perlawanan.
“Saya fikir ini sesuatu yang buruk berhubung situasi ini. Jika US menewaskan Belgium, akan ada satu perkara tambahan tentang hal ini. Belgium pasti akan marah.
“Bagaimana dengan kad merah seterusnya? Apa yang akan berlaku? Akan ada jawatankuasa tertentu tarik balik (hukuman) itu? Ini satu keputusan buruk yang akan menjejaskan Piala Dunia dan US,” katanya seperti dilaporkan The Guardian.
Sebelum ini, FIFA mengambil keputusan membatalkan penggantungan Balogun selepas mendapat permintaan Presiden US, Donald Trump. Keputusan itu mencetuskan kemarahan ramai pihak terutama lawan US seterusnya di pusingan 16 pasukan terbaik, Belgium.
Norway mengesahkan tiket ke suku akhir selepas menewaskan Brazil 2-1. Peledak Manchester City, Erling Haaland meledakkan dua gol buat pasukan Scandinavia itu.