FIFA Cuba Selindung Achraf Hakimi Bersemuka Dengan Infantino
Piala Dunia
DH les Sports +
Advertisements

Semalam, perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2022 menyaksikan Croatia menundukkan Maghribi 2-1. Walau bagaimanapun, mutu pengadilan perlawanan tersebut mengundang kemarahan kem Maghribi terutama bek kanan PSG, Achraf Hakimi. Kerana terlalu marah, Hakimi kemudiannya bersemuka dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino selepas tamat perlawanan – satu perkara yang cuba diselindung oleh badan bola sepak dunia itu.

Insiden ini berlaku semasa Infantino menunggu untuk memberi pingat gangsa kepada kontinjen Croatia diketuai kapten Luka Modric. Bekas bek kanan Borussia Dortmund itu didakwa menjerit kepada Presiden FIFA itu dengan kenyataan ini, “Ini merupakan perlawanan kedua berturut-turut anda lakukan ini (ketidakadilan) kepada kami. FIFA tak mahu Maghribi menang pingat (menggondol tempat ketiga)!” Walaupun cuba dipadam pegawai-pegawai FIFA, imej konfrontasi itu tular di media sosial.

Semasa perlawanan, Singa Atlas gagal memanfaatkan peluang untuk menambah jaringan tunggal mereka menerusi Achraf Dari. Tetapi mutu pengadilan pengadil Qatar, Abdelrahman Al-Jassim mengundang kemarahan kem Maghribi termasuk Hakimi. Ini selepas Al-Jassim membenarkan permainan diteruskan walaupun wujud insiden bek kanan PSG itu dikasari oleh penyerang Bruno Petkovic.

Advertisements

Ini bukan kali pertama mutu pengadilan Piala Dunia 2022 mencetuskan kemarahan pasukan-pasukan yang bertanding. Bekas penyerang Manchester United, Edinson Cavani menumbuk skrin VAR selepas pasukannya tersingkir di peringkat kumpulan. Sementara Modric pula mempersoal mutu pengadilan pengadil Itali, Daniele Orsato selepas Croatia disingkirkan Argentina di peringkat separuh akhir.

Wartawan SVT Sports, Johan Kucukaslan mendedahkan pegawai-pegawai FIFA mahukan video dan gambar insiden tersebut dipadamkan. Dia berkata, “Mereka mahukan kami memadamkan semua imej yang diambil. Amat jelas insiden tersebut memalukan mereka dan naiflah bagi mereka fikir puluhan wartawan tak melaporkan perkara ini apabila kami sendiri menyaksikannya.”

Hakimi yang kemudiannya ditemubual pasca-perlawanan memberitahu tiada apa berlaku membabitkan dirinya dan Infantino. Dia berkata, “Tiada apa yang berlaku. Saya bercakap kepada dia (Infantino). Saya mohon maaf atas setiap perkataan yang diucapkan kepadanya. Infantino merupakan rakan saya dan saya amat menghormatinya, dan tiada apa yang berlaku antara kami berdua.”

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram