Dunia
CBS Sports Golazo
Advertisements

Croatia menamatkan kempen Piala Dunia 2022 dengan bergaya selepas menewaskan Maghribi 2-1 di Stadium Antarabangsa Khalifa hari ini. Dengan kemenangan tersebut, Vatreni menggondol tempat ketiga sekaligus pasukan ketiga terbaik dalam kejohanan.

Sebaik sepak mula, Croatia mula mengasak benteng pertahanan Maghribi. Dan tekanan mereka hampir membuatkan sepakan penjaga gol Yassine Bounou hampir termasuk ke dalam gol sendiri sebelum terkeluar dari padang pada minit ketiga. Sepakan sudut yang diperoleh Vatreni selepas itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan pertahanan Singa Atlas.

Josko Gvardiol Croatia Maghribi Piala Dunia 2022 Ben Jacobs Croatia Benam Maghribi, Gondol Tempat Ketiga Piala Dunia
Tandukan menjunam Gvardiol letakkan Croatia di hadapan. Gambar: Ben Jacobs

Empat minit selepas itu, pasukan dari Eropah Timur itu mendahului Singa Atlas menerusi tandukan bek tengah Josko Gvardiol. Sepakan percuma yang dihantar ke kotak penalti Maghribi ditanduk pemain sayap Spurs, Ivan Perisic sebelum menanduk semula kepada bek tengah RB Leipzig yang mudah menewaskan Bounou bagi meletakkan Croatia di hadapan.

Advertisements
Achraf Dari jaring gol pertama antarabangsanya bagi mengikat kedudukan 1-1. Gambar: Statman Dave

Tetapi belum sempat penyokong Vatreni berhenti bersorak, Singa Atlas menyamakan kedudukan seminit selepas itu. Sepakan percuma pemain sayap Chelsea, Hakim Ziyech mudah ditanduk bek tengah Brest, Achraf Dari menewaskan Dominik Livakovic. Gol tersebut juga merupakan gol pertama Dari bersama pasukan kebangsaan Maghribi.

Tersentak, Croatia berusaha mencari gol kedua. Dan mereka hampir berhasil menambah jaringan menerusi tandukan bekas penyerang Leicester City, Andrej Kramaric pada minit ke-17 selepas menerima hantaran Perisic. Bagaimanapun, tandukannya tepat ke dakapan Bounou.

Kesilapan bek kiri Maghribi Yahia Attiyat Allah mengawal bola segera direbut Croatia sebelum ia dilorongkan kepada kapten mereka Luka Modric. Sepakan kuatnya pada minit ke-23 berjaya ditepis Bounou tetapi bola muntah gagal ditolak masuk Marko Livaja. Ini membolehkan Dari mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Advertisements

Enam minit selepas itu, giliran Singa Atlas pula kecewa gagal menambah jaringan. Kegagalan Perisic mengawal bola mengakibatkan bola terlepas daripada kawalannya sebelum dilarikan bek kanan PSG, Achraf Hakimi. Bagaimanapun, hantaran Hakimi kepada penyerang Sevilla, Youssuf En-Nesyri gagal ditanduk penyerang tersebut sekaligus melegakan barisan pertahanan Croatia.

En-Nesyri terus kecewa tidak dapat menambah gol Maghribi pada minit ke-36. Satu hantaran sepakan sudut Ziyech berjaya ditanduk penyerang Sevilla itu tetapi tiada siapa berada di belakang gawang Croatia untuk menolak bola ke dalam gawang. Tiga minit selepas itu, Ziyech membuat percubaan jarak jauh tetapi percubaannya langsung tidak mengenai sasaran.

Gol cantik Orsic kembali meletakkan Croatia di hadapan. Gambar: CBS Sports Golazo

Tatkala Maghribi terus mengenakan tekanan ke atas Vatreni, Croatia kembali di depan menerusi satu percubaan cantik Mislav Orsic pada minit ke-42. Sepakan Orsic yang melengkung ke sebelah kiri gagal dicapai Bounou di mana ia terkena tiang sebelum masuk ke gawang. Singa Atlas hampir menyamakan kedudukan beberapa minit selepas itu menerusi En-Nesyri selepas berjaya menewaskan Gvardiol dan Josip Sutalo tetapi bola berjaya dirampas oleh Livakovic.

Advertisements

Selepas rehat, Orsic hampir menambah gol ketiga pada minit ke-46 tetapi sepakannya terkena belakang bek tengah Jawad El Yamiq sebelum terkena bahagian tepi gol. Beberapa sepakan sudut yang diambil selepas itu berjaya dikeluarkan pertahanan Maghribi.

Kedua-dua pasukan kemudiannya membuat beberapa pertukaran bagi menyegarkan semula kesebelasan utama masing-masing. Croatia terus memburu gol ketiga menerusi percubaan pemain gantian Nikola Vlasic pada minit ke-70 tetapi percubaannya terbang melepasi palang gawang Bounou.

Empat minit selepas itu, Croatia menyangka mereka patut dianugerahkan sepakan penalti selepas Gvardiol terjatuh dalam kotak penalti. Bagaimanapun, ulang tayang menunjukkan bek tengah Leipzig itu tergelincir semasa dikejar pemain tengah Fiorentina, Sofyan Amrabat. Seminit selepas itu, En-Nesyri menguji Livakovic dengan satu percubaan dekat tetapi berjaya ditepis penjaga gol Dinamo Zagreb itu.

Advertisements

Maghribi terus memburu gol penyamaan tetapi Croatia terus mengawal bola di bawah pimpinan Modric. Dan Vatreni hampir menambah gol ketiga menerusi Mateo Kovacic pada minit ke-87 selepas menerima hantaran mengelirukan Orsic. Bagaimanapun, sepakan pemain tengah Chelsea itu sedikit tersasar. Maghribi terus mengasak tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan kemenangan ini, ini boleh dianggap sebagai hadiah terbaik buat Modric. Biarpun jeneral tengah Real Madrid itu belum mengumumkan sebarang perancangan dengan Croatia pasca-Piala Dunia, pencapaian tempat ketiga ini cukup untuk mengubati kekecewaan gagal layak ke final Piala Dunia 2022.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram