“FIFA Dah Tolong Pun Kena Belasah Juga”
MakanBola
USMNT

Kegagalan Amerika Syarikat (US) meraih tiket suku akhir Piala Dunia FIFA menjadi bahan gurauan peminat bola sepak.

US diselubungi dengan kontroversi sebelum turun dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang Belgium pada Selasa. Ini selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menangguhkan hukuman penggantungan Folarin Balogun selama setahun.

Susulan itu, ramai pihak membidas tindakan FIFA kerana itu dilihat bertentangan dengan prinsip peraturan saksama yang diamalkan badan induk bola sepak dunia itu. Antara yang berbuat demikian ialah jurulatih Norway, Stale Solbakken dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Lawan US, Belgium juga terkejut dengan pengumuman tersebut. Hal ini mendorong Persatuan Bola Sepak Diraja Belgium (RBFA) menimbang semua pilihan termasuk tindakan undang-undang ke atas FIFA.

Situasi US tidak dibantu dengan pengakuan Presiden mereka sendiri, Donald Trump. Trump mengaku menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino untuk melobi badan induk itu untuk menyemak penggantungan yang dihadapi Balogun.

Meskipun Infantino kemudiannya memaklumkan semua keputusan Jawatankuasa Disiplin FIFA bebas termasuk membabitkan keputusan penggantungan Balogun, ia menambah amarah RBFA. Mereka telah menghantar protes kepada FIFA tetapi ditolak.

Balogun kemudiannya diturunkan jurulatih US, Mauricio Pochettino dalam kesebelasan utama menentang Belgium. Meskipun begitu, bekas pemain remaja Arsenal itu tidak menyerlah dalam perlawanan tersebut.

Sebaliknya, Belgium menutup mulut US dengan membelasah pasukan Amerika Utara itu 4-1. Hal ini menyebabkan anak buah Pochettino menjadi bahan jenaka di media sosial.

Salah satu komen yang paling mencuri perhatian ialah komen ini, “FIFA sudah tolong pun kena belasah juga (dengan Belgium).”

Pada akhirnya, US menyertai dua lagi negara tuan rumah, Kanada dan Mexico tersingkir di pusingan 16 pasukan terbaik. Kini, Belgium akan turun menentang juara dunia 2010, Sepanyol di peringkat suku akhir.

Meskipun begitu, kontroversi Balogun dijangka tidak akan berakhir. Ini kerana beberapa negara seperti Perancis dan England bakal menggunakan kes penyerang AS Monaco itu untuk mendapatkan pengurangan hukuman disiplin tonggak masing-masing.