FIFA telah mengesahkan penggantungan ke atas All Nepal Football Association (ANFA) berkuat kuasa serta-merta bermula 24 Jun 2026 sehingga diberitahu kelak.
Perkara itu dimaklumkan menerusi surat rasmi FIFA (Circular no. 1967) yang dikeluarkan di Zurich pada 24 Jun 2026, selepas keputusan dibuat oleh Bureau of the Council berdasarkan Artikel 16 Statut FIFA.
Susulan penggantungan tersebut, ANFA telah kehilangan semua hak keahlian seperti yang termaktub di bawah Artikel 13 Statut FIFA. Ini termasuk larangan terhadap pasukan kebangsaan dan kelab di bawah naungan ANFA daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa sepanjang tempoh penggantungan.
FIFA turut menegaskan bahawa ANFA serta semua ahli dan pegawainya tidak lagi dibenarkan untuk menerima sebarang manfaat daripada program pembangunan, kursus atau latihan yang dianjurkan oleh FIFA mahupun AFC.
Dalam masa yang sama, FIFA mengingatkan semua ahli gabungan dan pihak berkaitan supaya tidak menjalinkan sebarang hubungan sukan dengan ANFA atau mana-mana pasukan di bawahnya selagi penggantungan masih berkuat kuasa.
Bagaimanapun, FIFA memaklumkan bahawa penggantungan tersebut boleh ditarik balik pada bila-bila masa oleh Bureau of the Council atau FIFA Council sebelum Kongres FIFA seterusnya, dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian.
Difahamkan, tindakan ini berkait dengan konflik berpanjangan antara ANFA dan pihak berkuasa sukan negara yang didakwa mencampuri urusan dalaman persatuan.