FIFA & IFAB Perkenal ‘Peraturan Anti-Arsenal’ Sebelum Piala Dunia
MakanBola
Arsenal

Mana-mana pasukan yang ingin meniru taktik situasi sepakan percuma Arsenal dalam saingan Piala Dunia 2026 perlu fikir masak-masak sebelum melakukannya.

Diario AS melaporkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Lembaga Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) memperkenalkan peraturan yang menghalang pemain daripada membuat halangan fizikal semasa situasi sepakan percuma berlaku.

Peraturan yang dilabel peraturan anti-Arsenal itu menyaksikan pemain dilarang daripada membuat halangan fizikal dengan tujuan memberi ruang kepada rakan sepasukan menjaringkan gol.

Taktik tersebut kerap digunakan The Gunners dalam semua kejohanan termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL). 16 daripada 25 gol sepakan percuma Arsenal dalam EPL terjadi dalam situasi sepakan sudut.

Meskipun begitu, taktik yang digunakan anak buah Mikel Arteta itu sentiasa mencetuskan kemarahan jurulatih lawan. Pengurus Everton, David Moyes melabel pasukan utara London itu sebagai pelopor taktik berkenaan.

Malah, ini turut mendorong juara bertahan Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Paris Saint-Germain (PSG) mengadakan sesi latihan khas untuk mencegah taktik Arsenal di pentas final baru-baru ini.

Susulan itu, FIFA telah memberi kuasa kepada pembantu pengadil video (VAR) untuk campur tangan sekiranya mereka melihat ada halangan fizikal sebelum sepakan sudut diambil.

Ini menjadikan tujuh kategori perkara yang disemak VAR sepanjang perlawanan. Tujuh perkara itu ialah gol, kad merah, keputusan penalti, tersilap identiti, keputusan kad kuning kedua, sepakan sudut dan halangan fizikal sebelum situasi sepakan percuma.

Perubahan ini bakal berkuatkuasa dalam Piala Dunia dan ia juga akan dilaksanakan di seluruh dunia bermula 1 Julai ini.