UCL: Latihan Khas PSG Ternyata Berkesan
MakanBola
Paris Saint-Germain

Latihan khas yang diharungi Paris Saint-Germain (PSG) sebelum menghadapi Arsenal di pentas final Liga Juara-Juara UEFA (UCL) akhirnya membuahkan hasil.

The Touchline melaporkan kelab gergasi Perancis itu mengadakan sesi latihan khas membabitkan penjaga gol mereka bagi menangani ancaman Arsenal dalam situasi sepakan percuma termasuk sepakan sudut.

Ini kerana The Gunners cukup digeruni dengan menjaringkan gol dalam situasi berkenaan. Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini menyaksikan anak buah Mikel Arteta menjaringkan 19 gol dari sepakan sudut.

Latihan ini disifatkan berjaya kerana The Gunners gagal merobek gawang PSG menerusi situasi sepakan percuma termasuk sepakan sudut. Statistik perlawanan menyaksikan Arsenal hanya mendapat tiga sepakan penjuru berbanding PSG (11) selepas 120 minit.

Ini juga membuka ruang buat PSG mempertahankan kejuaraan mereka buat kali kedua berturut-turut selepas memenangi UCL pada musim 2024/25.

Arsenal sekali lagi kempunan bergelar juara apabila tewas 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti. Meskipun mendahului menerusi Kai Havertz, PSG mengheret perlawanan ke masa tambahan menerusi penlati Ousmane Dembele.

Meskipun gagal bergelar juara UCL, itu masih tidak memadamkan hakikat Arsenal ialah juara EPL musim ini. Kekalahan ini juga dijangka menjadi pendorong buat kelab utara London itu tampil lebih baik pada musim hadapan.

Claim Money Packet TnG