PSG berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menewaskan Arsenal 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di pentas final pada awal pagi Ahad.
Kemenangan 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti berjaya diraih oleh PSG selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 apabila dipaksa bekerja-keras merobohkan benteng kukuh Arsenal di sepanjang tempoh 120 minit permainan.
Trio Ousmane Dembele, Desire Doue serta Kvicha Kvaratskhelia menjadi taruhan PSG untuk memburu jaringan manakala Arsenal mempertaruhkan gandingan Declan Rice dan Martin Odegaard di bahagian tengah pasukan.
Seawal minit ke-6, Kai Havertz meletakkan Arsenal di hadapan menerusi satu percubaan kencang dari sebelah kanan pintu gawang PSG yang terus menewaskan penjaga gol, Matvey Safonov untuk menceriakan kem The Gunners.
Penantian PSG untuk menyamakan kedudukan akhirnya membuahkan hasil selepas jaguh Perancis tersebut dihadiahkan sepakan penalti dan tugasan itu disudahkan dengan cukup tenang oleh Ousmane Dembele pada minit ke-65.
Kedudukan 1-1 ini masih kekal hingga tamat masa sebenar dan berlanjutan ke masa tambahan sebelum perlawanan akhir dibawa ke penentuan sepakan penalti selepas 120 minit permainan belum mampu menoktahkan kejuaraan.
Pada aksi penentuan tendangan penalti, dua tonggak Arsenal, Eberechi Eze dan Gabriel Magalhaes gagal menyempurnakan tugasan itu selepas sepakan mereka tersasar dan PSG bergelar juara buat kali kedua berturut-turut dalam sejarah.