Pemain pertahanan Harimau Malaya, Gabriel Palmero mengakui belajar menyanyi lagu Negaraku dari YouTube.
Sebelum perlawanan bermula, ramai peminat Harimau Malaya kagum melihat bek kiri CD Tenerife itu bersemangat menyanyikan lagu Negaraku.
Malah, hal ini turut menarik perhatian jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski. Jurulatih Australia itu menganggap ini tanda kebanggaan Palmero mewakili Harimau Malaya.
“Beliau berbangga sebagai rakyat Malaysia. Anda dapat melihat beliau menyanyikan lagu kebangsaan (Negaraku),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Apabila ditanya tentang hal tersebut, Palmero mengakui beliau belajar menyanyikan lagu Negaraku di YouTube. Beliau mencuba menyanyikan lagu kebangsaan Malaysia itu sebaik mungkin.
“Ya, saya ada cuba. Saya hanya lihat liriknya di YouTube. Saya banyak kali berlatih untuk menyanyikan lagu ini,” katanya selepas perlawanan.
Palmero membantu Harimau Malaya mengikat Cape Verde 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Beliau turut meraih penampilan pertama skuad kebangsaan bersama pemain pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili.