Malaysia mempamerkan persembahan hebat untuk mengikat pasukan ke-72 dunia, Cape Verde dalam aksi persahabatan.
Pertembungan yang dinantikan ini menjadi tumpuan peminat Harimau Malaya apabila dilihat sebagai persiapan menjelang perlawanan penting berdepan Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia.
Dua bintang muda, Gabriel Palmero dan Ubaidullah diberikan peluang membuat debut bersama Malaysia sementara Cape Verde menurunkan pemain Sporting Lisbon, David Moreira di bek kiri.
Seawal minit ke-8, gawang Malaysia dibolosi terlebih dahulu hasil rembatan deras pertahanan kanan Cape Verde, Sydny Cabral yang tidak memberikan peluang untuk Syihan Hazmi di pintu gol.
Arif Aiman memiliki dua peluang tidak lama kemudian namun percubaan kaki kiri pemain berusia 23 tahun ini diselamatkan oleh penjaga gol Cape Verde, Vozinho untuk kecewakan tuan rumah.
Di penghujung aksi babak pertama, Malaysia nyaris meledak jaringan penyamaan menerusi tendangan leret Safawi Rasid sebelum mudah ditangkap oleh Vozinho untuk kedudukan 1-0 kekal.
Separuh masa pertama tamat, Malaysia 0-1 Cape Verde.
Kembali dari rehat, usaha Harimau Malaya untuk memburu gol penyamaan diteruskan dengan asakan oleh Arif Aiman dan juga Corbin Ong yang berupaya menguji kekebalanan Cape Verde.
Kemasukan penyerang KL City, Paulo Josue membawa impak segera apabila tonggak berusia 36 tahun ini tak memerlukan masa yang lama untuk menjaringkan gol pertama Malaysia di minit ke-80.
Aksi di Stadium Cheras berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Malaysia serta Cape Verde akan bertemu sekali lagi dalam satu aksi persahabatan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun hadapan sebelum skuad negara berdepan Vietnam 7 hari kemudian.