Pemain pertahanan CD Tenerife, Gabriel Palmero dan Ubaidullah Shamsul Fazili akhirnya bakal meraih penampilan pertama bersama Harimau Malaya.
Sebelum ini, Palmero berpeluang menyertai kem skuad kebangsaan sebagai persiapan menentang Nepal pada 26 Mac lalu.
Walau bagaimanapun, pemain pertahanan berusia 23 tahun itu tidak terpilih dalam senarai pasukan yang dipilih Peter Cklamovski menentang The Gorkhalis.
Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam kemudiannya memaklumkan nama Palmero dijangka tersenarai dalam pasukan menentang Cape Verde.
Perkara ini kemudiannya disahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi pengumuman barisan kesebelasan utama dan simpanan Harimau Malaya untuk aksi tersebut.
Palmero berada dalam kesebelasan utama untuk aksi menentang The Blue Sharks. Sekiranya semuanya berjalan lancar, beliau menjadi pemain Malaysia yang berpangkalan di luar negara terbaru mewakili skuad kebangsaan.
Palmero bukan satu-satunya pemain yang dijangka mendapat penampilan pertama. Ubaidullah juga tersenarai dalam kesebelasan utama kali ini.
Sebelum ini, Ubaidullah dipanggil ke kem Harimau Malaya untuk dua aksi antarabangsa pada November 2024. Walau bagamanapun, pemain pertahanan Terengganu FC itu tidak meraih penampilan pertama dalam dua aksi tersebut.
Cklamovski memberi peluang kepada Ubaidullah bergandingan dengan rakan lamanya dalam Malaysia B-23, Harith Haikal Adam Afkar.