Gabriel Peres Pilih Ke Kuching City
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City FC menjadi destinasi pilihan bekas bek tengah Sabah FC, Gabriel Peres.

Perpindahan bek tengah Brazil berusia 29 tahun itu diumumkan pengurusan The Cats menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka. Peres menjadi rekrut ketujuh Kuching City musim ini.

“Setiap pasukan dibina di atas asas yang tidak boleh ditembusi. Hari ini, asas itu menjadi lebih kuat bila Gabriel Peres tiba di City of Unity.

“Tinggi lampai dari segi fizikal, gigih dalam setiap terjahan dan kental bila bertahan, beliau sudah bersedia melindungi kota kita dengan segala-gala yang beliua miliki.

“Benteng telah diperkukuh. Selamat datang ke Kuching City FC, Gabriel,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Perpindahan ini menamatkan desas-desus tentang destinasi pilihan beliau selepas memilih meninggalkan Sabah. Sebaik perpindahan itu diumumkan, Peres membuat komen ringkas di ruang komen, “Ayuh.”

Ramai penyokong The Cats teruja melihat beliau mewakili pasukan itu. Ini termasuk bekas penyerang Kuching City, Pedro Henrique menerusi komen ini, “Selamat berjaya, saudaraku. Semoga Tuhan sentiasa merahmati anda.”

Peres dijangka menambah pilihan Aidil Sharin Sahak di bek tengah. Beliau akan bersaing dengan kapten, James Okwuosa, Yuki Tanigawa, Rodney Celvin Akwenzie dan bekas pemain Melaka FC, Irfan Zakaria.