Bek tengah Sabah FC, Gabriel Peres mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan itu selepas kekal selama tiga musim.
Perkara ini dizahirkan beliau menerusi satu kenyataan di Instagram. Meskipun mengakui ini satu keputusan sukar, Peres menghargai sokongan yang diberi sepanjang bersama Sabah.
“Terima kasih untuk semua masa ini! Semua yang kami lalui dalam 3 musim ini adalah malam yang luar biasa, malam yang tidak dapat dilupakan, banyak pertempuran, dan semuanya dengan banyak kerja keras.
“Saya sentiasa memberikan 200% untuk kelab ini, yang akan saya simpan di hati saya! Kepada semua orang, terutamanya peminat yang sentiasa melayan saya dengan baik, sentiasa mempercayai saya, terima kasih untuk segalanya.
“Saya sayang anda semua di Sabah, anda akan sentiasa bersama saya dalam setiap saat. Sehingga bertemu lagi!” katanya.
Susulan itu, ramai rakan sepasukan mengucapkan selamat berjaya kepada beliau. Antaranya Darren Lok, Dean Pelekanos, Kervens Belfort dan Miguel Cifuentes.
Turut tidak ketinggalan tiga bekas pemain Sabah iaitu Ajdin Mujagic, Fergus Tierney dan Stuart Wilkin.
Sepanjang bersama Sabah, Peres merekodkan 71 penampilan, 15 gol dan tujuh bantuan gol. Beliau turut membantu Sabah muncul juara MFL Challenge Cup musim lalu.
Peres menjadi pemain terbaru mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah selepas Tierney dan Khairul Fahmi Che Mat.