Pengendali Pahang Rangers, Gerard Casas mengucapkan selamat tinggal buat pasukan bimbingannya itu setelah lebih empat tahun bersama.
Menerusi satu kenyataan di laman Instagram Pahang Rangers, Casas mengumumkan bakal meninggalkan pasukan pada penghujung musim ini dan berterima kasih buat para pemain, penyokong dan pihak pengurusan selama beliau berada di Malaysia.
“Kepada penyokong setia PRFC dan keluarga futsal Pahang saya, saya ingin mengumumkan bahawa, selepas 4 tahun setengah di Malaysia, saya telah membuat keputusan untuk meninggalkan Pahang Rangers apabila MPFL tamat musim ini, dan meneruskan karier saya di Sepanyol.”
“Ini adalah keputusan peribadi yang saya percaya adalah yang terbaik untuk kerjaya saya dan sudah tiba masanya untuk saya kembali ke negara asal saya. Jangan risau, kerana kelab dan saya sedang bekerjasama untuk memastikan PRFC ditinggalkan di tangan yang terbaik dan bergerak ke arah yang betul.”
“Masih ada masa untuk mengucapkan selamat tinggal dan penjelasan tentang meninggalkan Pahang, yang saya anggap dan akan sentiasa menjadi rumah saya, tetapi liga masih belum tamat. Kita mash mempunyai 7 lagi perlawanan untuk berjuang bersama untuk para penyokong dan kelab yang hebat ini.”
Kejayaan manis yang paling diingati Casas bersama Pahang Rangers sudah pasti membawa pasukan dari Pantai Timur itu bergelar juara berganda pada musim 2023 setelah menewaskan pencabar terdekat, JDT Futsal dalam dua aksi final.
Ketika ini, Pahang Rangers berada di tangga kedua carta Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) dengan 16 mata hasil lima kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan, lima mata di belakang pendahulu, JDT Futsal setelah tujuh perlawanan.