Bek tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Giancarlo Gallifuoco mengakui kagum melihat semangat kebersamaan Harimau Malaya dalam mengharungi kempen ASEAN Hyundai Cup 2026.
Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat pasukan itu beraksi dalam aksi terakhir Kumpulan B menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras baru-baru ini.
Gallifuoco mengakui meskipun persiapan anak buah Tan Cheng Hoe menghadapi kejohanan itu tidak sempurna, semangat kebersamaan dalam kalangan pemain terserlah.
Para pemain bukan saja saling memberi semangat tetapi turut meraikan gol bersama-sama. Gallifuoco melihat semangat ini penting lebih-lebih lagi menjelang aksi separuh akhir menentang Vietnam.
“Tetapi satu perkara yang indah untuk dilihat ialah saya fikir (pemain-pemain) pasukan itu bercakap antara satu sama lain. Saya fikir Ubai (Ubaidullah Shamsul Fazili) dan Rodney (Rodney Celvin Akwensivie) melakukannya dengan sangat baik.
“Dan saya dapat melihat bahawa mereka seronok bermain dan berjuang antara satu sama lain. Keraian ketika menjaringkan gol juga hebat.
“Jadi, saya sangat berharap mereka dapat berehat dan meneruskan semangat yang sama dalam perlawanan (separuh akhir menentang) Vietnam,” katanya kepada Stadium Astro.
Gallifuoco berkata demikian semasa menjadi panel perlawanan persahabatan antara kelab gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea pada 9 Ogos lalu.
Bek tengah berusia 32 tahun itu turut menyatakan rasa bangga melihat rakan baik dan kapten KL City, Paulo Josue memikul tugas sebagai kapten Harimau Malaya untuk kempen ASEAN Hyundai Cup.
Harimau Malaya akan menentang Vietnam dalam aksi separuh akhir pertama di Cheras pada 16 Ogos. Ini disusuli aksi timbal balik di Stadium Nasional My Dinh pada 19 Ogos.