Pertahanan tengah pasukan Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya untuk membawa cabaran pasukan dan juga Malaysia di pentas AFC.
Bekas pertahanan bawah 23 tahun Tottenham Hotspur ini akui perasaan beliau sukar diungkap tatkala memacu cabaran The City Boys untuk menjulang lebih banyak kejayaan buat kelab dan juga negara.
Katanya, Piala AFC ini juga memberi aura yang luar biasa kepada para pemain KL untuk terus bersedia dan memantapkan lagi pasukan kerana menyedari cabaran dan juga tahap pertandingan yang jauh lebih kompetitif.
“Piala AFC memberi tenaga yang luar biasa kepada kami dan fokus sebagai satu unit.”
“Kami tahu kami bukan hanya membawa nama kelab bahkan nama Malaysia dan juga liga.”
Giancarlo turut mengakui ia merupakan satu perasaan yang cukup luar biasa dan berbesar hati tatkala dapat membantu pasukan kendalian Bojan Hodak menjadi juara di rantau Asia Tenggara baru-baru ini.
Kini, mereka akan terus kekal fokus dalam membuat persediaan taktikal dan juga mental bagi menghadapi sebarang kemungkinan tatkala KL City bakal berdepan cabaran Mohun Bagan pada separuh akhir Inter Zone nanti.
“Kami sedang melakukan persediaan rapi bagi memastikan para pemain kekal yakin dan juga tenang menjelang hari perlawanan,” jelasnya kepada MakanBola.
Impak yang dibawa oleh pemain kelahiran Australia ini juga sudah diakui amat penting oleh Bojan Hodak dan keampuhannya sekali lagi ditagih untuk terus mengharumkan nama kelab dan Malaysia di persada Asia.