Giliran Kuching City Intai Safawi Rasid
MakanBola
Kuala Lumpur City FC

Kuching City FC menjadi pasukan terbaru yang ingin mendapatkan pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid.

Perkara ini disahkan presiden kelab itu, Dato Fazzrudin Abdul Rahman apabila ditanya tentang pemain baharu yang berpotensi memperkuatkan The Cats.

Fazzrudin memaklumkan nama Safawi antara pemain yang berada dalam radar Kuching City. Meskipun begitu, sebarang usaha mendapatkan beliau harus mengikut kemampuan kewangan kelab itu.

“Memang tidak dinafikan, Safawi memang berada dalam radar pasukan,” katanya seperti dilaporkan TVS.

“Kita bakal memulakan langkah bagi membawa beliau tetapi sudah tentu berlandaskan falsafah kewangan kami.”

Selepas menyertai Kuala Lumpur City FC (KL City FC) secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim ini, beliau sudah meledakkan 14 gol untuk pasukan Lembah Klang itu.

Bisa anak jati Dungun, Terengganu itu turut diintai satu lagi pasukan Borneo, DPMM FC. Malah, Safawi antara empat pemain JDT yang berada dalam radar pasukan itu.

Kuching City juga tidak menolak mendapatkan pemain secara pinjaman bagi menghadapi kempen musim depan. Fazzrudin melihat strategi ini membolehkan kelab mendapat pemain berkualiti tanpa menjejaskan aspek kewangan kelab.

“Ini juga merupakan strategi KCFC selama ini untuk mendapat pemain berkualiti dengan kadar gaji yang menepati falsafah kewangan kelab. Seperti sebelum ini, kita juga akan mengambil pemain secara pinjaman,” tambahnya.

Kuching City muncul naib juara Liga Super dan berstatus naib juara Piala Malaysia. Pencapaian ini menyaksikan The Cats akan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Shopee Cup musim depan.

Ini kerana naib juara Liga Super akan layak secara merit sebagai wakil negara beraksi dalam kedua-dua kejohanan itu. Selain Kuching City, JDT juga akan beraksi dalam Shopee Cup selaku juara liga.

Anak buah Xisco Munoz juga akan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim depan selepas berjaya mara ke peringkat suku akhir musim ini.