Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, Nafuzi Zain mengumumkan pengundurannya daripada jawatan tersebut menerusi satu kenyataan di media sosial hari ini.
Pengunduran Nafuzi menjadikannya individu terbaru meninggalkan struktur kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad kebangsaan, Rob Friend serta ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski yang sebelum ini menamatkan kontrak mereka secara persetujuan bersama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Dalam kenyataannya, Nafuzi mengakui bukan mudah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan yang cukup dekat di hatinya.
“Semestinya bukan mudah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sebuah pasukan yang begitu dekat di hati,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan, staf sokongan, pemain dan penyokong yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama skuad muda negara.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam perjalanan karier saya. Terutamanya kepada pihak pengurusan, staf sokongan serta pemain dan juga penyokong yang sentiasa ada di belakang saya memberi sokongan dan semangat yang tidak berbelah bahagi,” katanya.
Nafuzi turut menyatakan keyakinannya bahawa skuad B-23 negara akan terus berkembang dengan kehadiran pemain-pemain muda yang berbakat dan berpotensi menjadi aset penting bola sepak negara pada masa hadapan.
“Saya yakin pasukan ini akan terus berkembang dan meraih kejayaan dengan bakat dan potensi pemain muda yang ada sekali gus menjadikan mereka aset penting di masa hadapan.
“Saya amat menghargai kenangan dan sokongan semua. Terima kasih sekali lagi diucapkan,” kata Nafuzi Zain lagi.