Pertahanan kelahiran Korea Selatan, Park Tae-su mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Sabah.
Tae-Su merupakan tonggak utama pasukan Sabah sejak tiba dari Korea Selatan pada Januari 2019 lalu dan menjadi watak utama di benteng pertahanan hingga diangkat selaku kapten.
Walau bagaimanapun, hasrat untuk melihat Tae-Su bersama Sabah musim hadapan tidak kesampaian apabila pertahanan itu memuat naik ucapan perpisahan yang menyentuh hati di laman Facebook.
Menurut Tae Su, pengalaman berada di Malaysia selama 7 tahun ini amatlah istimewa terutamanya buat beliau yang datang selaku pemain asing namun dilayan seperti keluarga.
“Sebagai seorang pemain import, dapat bertahan dan bermain bersama satu pasukan selama 7 tahun adalah satu keistimewaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.”
“Saya datang ke Malaysia tanpa mengenal sesiapa, tanpa mampu berbicara dalam bahasa tempatan. Semuanya asing. Tapi dalam pasukan ini, saya temui keluarga. Saya temui rumah kedua.”
“Bersama-sama, kita telah mengharungi peluh dan air mata, menempuh kekalahan dan meraih kejuaraan. Dan dalam setiap detik itu, saya bukan saja menjadi pemain yang lebih baik, tapi juga manusia yang lebih kuat.”
Beliau turut menghargai sokongan para peminat Sang Badak yang tanpa henti mendorongnya menjadi lebih baik meskipun musim ini Tae-su tampak bergelut dengan isu kecergasan.
“Musim ini penuh ujian. Kecederaan meragut banyak peluang saya untuk beraksi. Prestasi saya selepas itu pun tak seperti yang saya harapkan,” tulis Park Tae-Su lagi.
“Tapi saya tidak pernah berjuang sendirian. Saya berdiri semula kerana kalian dan kerana sokongan tanpa henti, kerana kepercayaan yang kalian titipkan.”
“Terima kasih, dari hati yang paling dalam. Untuk cinta, untuk doa, dan untuk segalanya. Saya tak akan pernah lupakan ini. Selamanya.”
Untuk rekod, Park Tae-Su tiba di Sabah pada 2019 dari Hwaseong FC dan telah mencatat 105 penampilan serta menjaringkan 20 gol malah membuat 9 bantuan jaringan.
Selain Tae-su, seorang lagi pemain import, Saddil Ramdani juga telah mengucapkan salam perpisahan bersama Sabah menerusi satu hantaran di Instagram pemain Indonesia itu minggu lalu.