Selepas tewas kepada Selangor FC dalam aksi pra-musim baru-baru ini, Persiraja Banda Aceh mempergiat persiapan mereka dengan turun menentang PDRM FC esok.
Perkara ini disahkan Sang Saka Biru menerusi satu pengumuman di laman media sosial rasmi mereka hari ini.
Seperti aksi menentang Merah Kuning pada 27 Ogos lalu, perlawanan Persiraja-PDRM bakal diadakan di Stadium Harapan Bangsa Lhong Raya, Banda Aceh.
Perlawanan ini dilihat medan buat pengendali The Cops, Datuk Yunus Alif memantapkan pasukan sebelum mereka turun bertemu Kuching City FC dalam aksi tertunda Liga Super pada 10 September ini.
Bagi Persiraja pula, ini akan membantu mereka mengharungi saingan Liga 2 Indonesia dengan saingan bakal bermula pada 10 September.
Cabaran Persiraja telah diperkuatkan dengan kehadiran dua bekas bintang antarabangsa Indonesia, Andik Vermansyah dan David Laly.