Selepas Choi Moon-sik direhatkan pasukan Kelantan, satu lagi pasukan mengambil langkah sama hari ini iaitu Kelantan United. Ini selepas kelibat Tomas Trucha tidak kelihatan dalam perlawanan Kuching City-Kelantan United yang sedang berlangsung.
Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Trucha dikatakan direhatkan oleh pihak pengurusan untuk beberapa perlawanan. Dengan keputusan itu, Nazrulerwan Makmor sekali lagi menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih sementara.
Keputusan merehatkan bekas jurulatih Penang itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan dengan melihat prestasi semasa Kelantan United. Pasukan itu hanya merekodkan dua kali seri dan lima kali kekalahan di bawah bimbingan Trucha.
Rekod tersebut dalam tujuh perlawanan bukanlah sesuatu yang menarik untuk dilihat. Dan itu sudah cukup menjadikan Trucha jurulatih kedua selepas Moon-sik yang direhatkan pasukan mereka musim ini.
Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Kelantan United sudah mempunyai pengganti untuk mengisi kedudukan sebagai jurulatih baru kelab berkenaan.