Jaguh perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei bakal menempuh kem latihan khas sebagai persiapan ke Sukan Olimpik 2024.
Perancangan ini didedahkan oleh jurulatih beliau dari Indonesia, Nova Armada kepada wartawan Astro Arena, Syifa Nasir untuk Nadi Arena.
Kem latihan tersebut bakal diadakan pada Jun ini bagi membantu Jin Wei merealisasikan sasaran layak ke peringkat suku akhir Sukan Olimpik.
“Ya, kita ada sasaran. Kita sudah merancang pada awal Jun untuk adakan kem (latihan) dengan dia (Jin Wei). Ya, kita harap dapat sampai ke peringkat suku akhir,” katanya.
Nova turut memuji kesungguhan bekas pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 itu dalam setiap sesi latihan yang diharunginya.
Ini kerana ini menunjukkan Jin Wei ingin tampil mantap dalam pentas temasya sukan terbesar dunia itu.
“Setakat ini, latihannya bertambah bagus. Apa lagi setiap hari tidak pernah lewat. Lepas itu, (Jin Wei) sudah boleh (tempuh) dua sesi (latihan) tapi tidak setiap kalilah.
“Dalam seminggu, ada tiga kali dua sesi (latihan), yang lainnya satu sesi (latihan). Tapi itu sudah cukuplah untuk saya,” tambahnya.
Jin Wei layak ke Sukan Olimpik berdasarkan peraturan sebuah negara boleh membawa satu wakil dengan syarat mereka berada dalam kedudukan 32 pemain terbaik dunia.
Peraturan ini terpakai kepada pemain berusia 24 tahun itu kerana beliau ketika ini menduduki ranking ke-27 dunia.