Kejayaan Kelantan FC meraih satu mata selepas mengikat Kuching City FC tidak akan berlaku tanpa pemain import mereka, Natanael Siringoringo.
Bekas pemain Dewa United itu meledakkan sepakan percuma kencang dan cantik menewaskan penjaga gol Kuching City FC, Norazlan Razali.
Gol tersebut merupakan gol kedua Natanael bersama The Red Warriors (TRW) selepas beraksi bersama The Deity Warriors selama setahun.
Gol Natanael bukan saja merentap semangat tuan rumah. Malah, ada yang melihat gol tersebut berpotensi dicalonkan sebagai antara gol terbaik Liga Super musim 2023.
Tetapi gol bekas pemain PSMS Medan itu dijangka dicabar oleh satu lagi gol Kelantan FC yang dijaringkan rakan sepasukan, Hafizan Ghazali.
Hafizan mengejutkan Il Gatto menerusi satu sepakan jarak jauh lencong yang cantik menewaskan Norazlan pada minit keempat.
Tidak kira gol mana yang lebih cantik, impak Natanael cukup besar kepada TRW selepas kembali membarisi pasukan.
Kelantan FC pasti mengharapkan Natanael dapat mengulangi magisnya apabila mereka menentang KL City FC pada 29 Julai ini.