Bekas pemain sayap kebangsaan, Gopi Rizqi kembali mewarnai aksi di atas padang apabila menerima tawaran Vigor FC.
Perpindahan pemain berusia 35 tahun itu diumumkan kelab itu di platform rasmi mereka. Sebelum ini, Gopi menjual air balang bagi menampung kehidupan di Kampung Api-api, Pontian.
Ini selepas beliau belum menerima gaji selama lapan bulan daripada sebuah pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang.
Situasi beliau turut menarik perhatian DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Ini membawa kepada pertemuan baginda dan Gopi pada 7 Mac lalu.
Gopi bukan satu-satunya bintang baru Vigor. Beliau turut disertai seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Abdul Latiff Suhaimi dan selebriti terkenal, Aidil Aziz.
Latiff bakal kembali beraksi bersama rakan lama, Amri Yahyah. Sebelum ini, kedua-duanya pernah beraksi untuk pasukan Liga A1 Semi-Pro, PT Athletic.