Pemain futsal Indonesia, Guntur Sulistyo tidak lagi bersama juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023, Pahang Rangers.
Ini selepas pengurusan Pahang Rangers memaklumkan pemain berusia 27 tahun itu tidak akan mewarnai kempen 2025 bersama pasukan itu.
Ini kerana Guntur memilih untuk kembali ke Indonesia dan beraksi bersama Unggul FC Malang.
“Pahang Rangers merakamkan setinggi penghargaan kepada Guntur Sulistyo Ariwibowo yang tidak lagi akan bersama kelab untuk kempen musim baru,” kata kelab dalam satu kenyataan.
“Sepanjang tempoh singkat bersama PRFC dalam kempen Malaysia Futsal Cup, Guntur membuat empat penampilan dan menjaringkan dua gol di pusingan suku akhir menentang Kedah.
“Guntur telah memilih untuk pulang ke Indonesia bagi meneruskan karier, justeru kelab mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepadanya.”
Selepas hantaran itu dimuat naik, Guntur mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya sepanjang bersama Pahang Rangers.
“Terima kasih (kepada) pasukan, selamat berjaya pada masa hadapan dan kita berjumpa lagi,” katanya di ruang komen.
Guntur bukan satu-satunya bekas tonggak import MPFL beraksi untuk Unggul FC Malang. Bekas tonggak Selangor FC, Wellington Pereira turut beraksi untuk kelab berkenaan.