Hasrat pemain perseorangan negara, Cheam June Wei layak ke final Guwahati Masters 2023 tidak kesampaian hari ini.
Ini selepas kemaraan June Wei disekat pemain perseorangan Indonesia, Yohanes Saut Marcellyno di pentas separuh akhir hari ini.
Sekiranya June Wei berjaya melepasi separuh akhir hari ini, beliau berpeluang meraih gelaran pertama kejohanan BWF sejak 2019.
Malangnya, Yohanes membuktikan usia mudanya bukan penghalang untuk melakar kecemerlangan dengan meraih kemenangan 21-10 di set pertama.
June Wei cuba bangkit memberi tentangan pada set kedua. Bagaimanapun, Yohanes mempamerkan permainan mantap sebelum meraih kemenangan straight set 21-19.
Yohanes kini menunggu pemenang antara satu lagi wakil negara, Justin Hoh dan pemain perseorangan Indonesia, Alvi Wijaya Chairullah.
Pemenang aksi tersebut bakal menjadi lawannya di pentas final Guwahati Masters esok.