Selepas dua musim berkelana, pemain tengah Bahrain, Habib Haroon kembali menyarung jersi Terengganu FC.
Perpindahan bekas pemain tengah Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) itu diumumkan pengurusan Peteh menerusi satu kenyataan di semua platform mereka.
“Terengganu Football Club (Terengganu FC) dengan sukacitanya mengumumkan kepulangan pemain tengah antarabangsa Bahrain, Habib Haroon Haroon Saeed, yang sah kembali menyertai skuad TFC bagi menghadapi saingan musim 2026/2027.
“Pemain berusia 26 tahun itu menandatangani kontrak selama satu musim, bermula 1 Julai 2026 hingga 31 Mei 2027, selepas kali terakhir beraksi bersama Kelantan The Real Warriors FC,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Habib kembali bekerjasama dengan jurulatih baharu Terengganu, Nafuzi Zain buat kali ketiga. Kedua-duanya pernah bekerjasama semasa bersama Terengganu buat kali pertama dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Kehadiran beliau mengisi kekosongan yang ditinggalkan Akram Mahinan dan pemain tengah Tajikistan, Ehson Panjshanbe. Kedua-duanya antara 18 pemain yang meninggalkan Peteh selepas tamat musim 2025/26.
Habib bukan satu-satunya rekrut baharu yang diumumkan Peteh pada Khamis. Pengurusan pasukan Pantai Timur itu turut mengumumkan perpindahan bekas pemain Star City FC, Elvis Kamsoba.
Habib dan Kamsoba menyertai Haqimi Azim Rosli, Manuel Ott, Haziq Kutty Abba dan Danial Amier Norhisham sebagai rekrut baharu Peteh musim ini.