Pemain tengah Terengganu FC, Habib Haroon mengesahkan bahawa dirinya masih mahu beraksi di Liga Malaysia musim hadapan meskipun tidak bersama Terengganu lagi.
Menerusi ciapan yang dimuatnaik oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, beliau berkata bahawa beliau akan meninggalkan naib juara Piala Malaysia 2023 itu.
”Saya tinggalkan pasukan Terengganu kerana mahu mencuba di tempat lain”, kata jeneral tengah pasukan itu.
Pemain berusia 23 tahun itu juga sempat berterima kasih kepada semua pihak di Terengganu yang memberikannya pengalaman yang menakjubkan.
”Musim yang menakjubkan bersama Terengganu, Terengganu adalah pasukan yang menakjubkan. Para penyokong, pihak pengurusan, saya tidak ada apa-apa mahu katakan kepada mereka, tetapi mereka sangat menakjubkan”, ujar beliau lagi.
Kapten Terengganu itu juga menganggap Liga Malaysia masih relevan untuk beliau beraksi pada musim hadapan dan terdapat khabar angin yang mengaitkan beliau ke utara tanah air.
Pencapaian Habib Haroon bersama skuad Penyu musim ini ialah membantu pasukan mengakhiri kempen Liga Super di tangga keenam, separuh akhir Piala FA dan muncul naib juara Piala Malaysia 2023.