Bekas pemain tengah Selangor FC, Abdul Halim Saari akhirnya memutuskan untuk kembali ke bekas kelab yang menaikkan nama beliau dalam arena bola sepak, Kedah Darul Aman FC (KDA FC). Namun begitu, situasi Halim di Kedah kini sedikit berbeza.
Halim mengalami kecederaan Anterior cruciate ligament (ACL) yang memaksa pemain berusia 28 tahun itu berehat panjang daripada bermain bola sepak. Kecederaan tersebut juga menyebabkan beliau terpaksa meninggalkan Selangor pada penghujung musim lalu.
Kini, Halim sedang menjalani proses pemulihan bersama pasukan Kedah dibawah pemantauan physio, Helber Richards yang pernah bersama-sama Halim ketika kedua-dua mereka berkhidmat untuk pasukan Selangor.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh pihak KDA FC sendiri di laman Facebook mereka. Untuk rekod, Halim merupakan tunjang utama di posisi tengah Kedah dari tahun 2016 sehingga 2018 sebelum beliau berhijrah ke Selangor.
Penghijrahan ke Selangor dimulakan dengan baik pada musim 2019 apabila Halim kerap diturunkan dalam kesebelasan utama. Namun segalanya berubah pada musim 2021 apabila beliau hanya sempat beraksi dua kali bersama Selangor sebelum ditimpa kecederaan ACL.
Kali terakhir Halim beraksi dengan skuad utama Selangor adalah pada 9 Mac 2021 ketika aksi Liga Super menentang Terengganu FC. Selepas itu, Halim terus tersisih akibat kecederaan. Sememangnya satu tugas yang sukar namun tidak mustahil buat Halim kembali bangkit dengan bantuan hub prestasi sukan dan perubatan KDA FC.